Ummi Ceritakan Pada Saya Kisah Semut dan Burung Punai
Ummi2, ibu2, mama2, meh ajak anak-anak dengar cerita meh...
Pada suatu hari dalam musim panas, seekor semut telah pergi ke tebing sungai untuk meminum air tetapi nasib tidak menyebelahinya. Semut itu telah terjatuh ke dalam sungai dan tidak berupaya untuk naik semula ke tebing. Semut itu terkapai-kapai di permukaan air sambil berteriak meminta tolong.
"Tolong! Tolong!" teriak semut itu yang semakin lemah kerana tertelan air sungai.
Seekor burung punai yang sedang mencari makanan di situ ternampak semut itu terjatuh dan sedar yang semut itu akan mati lemas jika tidak diberikan bantuan.
"Kasihan semut itu. Saya mesti menolongnya tetapi bagaimana?" fikir burung punai di dalam hatinya.
Setelah berfikir sejenak, burung punai itu pun mendapat akal.
"Ah, semut itu pasti memerlukan sesuatu untuk berpaut. Saya akan campakkan sehelai daun ke dalam air, mungkin semut itu dapat menaikinya dan menjadikan daun itu seperti perahu kecil," kata burung punai di dalam benaknya.
Burung punai pun terus memegang sehelai daun dengan mulutnya lalu mencampakkan daun itu ke arah semut. Semut itu pun naik ke atas daun dengan segera.
"Terima kasih burung punai," kata semut itu. 'Mungkin suatu hari nanti, saya pula yang menolong awak."
Tidak lama selepas itu, datang seorang lelaki yang lengkap dengan alat memanah ke kawasan itu. Dia ternampak burung punai sedang bertenggek di dahan pokok. Dengan perlahan-lahan, dia pun bersiap untuk memanah burung punai. Semut sedar akan niat lelaki itu. Tanpa berlengah lagi, semut itu naik ke kaki lelaki itu lalu menggigitnya dengan sekuat tenaga.
"Aduh! Sakitnya kaki saya," teriak lelaki itu sambil melompat-lompat. Anak panahnya pula terlepas ke langit.
Burung punai berjaya terbang lari setelah mendengar teriakan lelaki itu.
"Terima kasih banyak-banyak semut kecil. Kamu telah menyelamatkan saya," teriak burung punai.
"Dahulu awak telah menolong saya dan saya harus membalas pertolongan kamu."
SUMBER
Ulasan