Adab-adab Menziarahi Orang Sakit

Saya terjumpa tajuk  Kelebihan menziarahi orang sakit ni di blog seorang sahabat....Bagus perkongsiannya..Terdetik pula hati, ingin memanjangkan lagi isu ni....

Kalau ada saudara atau sahabat handai kita yang uzur ziarah lah mereka...Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat mu’akkad ~ sunat yang sangat2 dituntut tau. Menziarahi orang sakit tidak hanya terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, bahkan disunatkan juga menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali hatta musuh atau orang yang pernah menyakiti kita. Ha..maknanya kita jangan menyimpan dendam...ingat tu tuan belog..

Kalau orang kafir????? Ni nak bagi tau..Hukum menziarahi kafir dzimmi yang sakit pula pada dasarnya adalah harus, tapi disunatkan menziarahinya jika dia dari kalangan ahli terdekat atau jiran, atau kerana berharap supaya dia memeluk Islam.Dalam menziarahi orang sakit, adakalanya kita lupa akan adab-adab yang perlu diikut sehingga niat yang baik hanya akan membebankan orang sakit dan bukan seperti yang diharapkan.

Antara adab-adab menziarahi orang sakit yang perlu dijaga ialah:

1) Hendaklah tujuan melakukan ziarah itu ikhlas kerana Allah Ta‘ala dan dengan niat yang baik seperti kerana rasa kasih dan sayang, persaudaraan, tanggungjawab dan sebagainya, bukan disebabkan niat dan tujuan yang tidak baik, juga bersifat duniawi semata-mata seperti ingin merebut harta dan kemewahan.

2) Melakukan ziarah pada waktu yang sesuai. Jangan terlalu lama dan kerap melakukan ziarah kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan dan gangguan kepada orang sakit, malah juga kepada orang sakit berhampiran sekiranya berada di rumah sakit.Makruh hukumnya melakukan ziarah jika mendatangkan kesusahan atau gangguan kepada orang sakit, menghalang pergerakannya atau membuatkannya berasa tidak selesa. Dianjurkan untuk melakukan ziarah secara berselang agar tidak mendatangkan sebarang kesulitan atau gangguan kepada orang sakit.

Namun sebaliknya, digalakkan untuk kerap melakukan ziarah bagi yang mempunyai hubungan rapat dengan orang sakit itu serta yang disenangi kehadirannya seperti keluarga atau sahabat karib selama mana tidak ada tegahan atau tidak menimbulkan gangguan.Begitu juga digalakkan untuk kerap melakukan ziarah jika dengan tidak melawat tiap-tiap hari akan mendatangkan kesusahan kepada orang sakit itu apabila tidak menjenguknya. Ulama ada mengatakan bahawa melakukan ziarah pada hari Jumaat itu lebih afdhal daripada hari-hari lain.

3) Berada di sisi orang sakit, sebaiknya di bahagian kepalanya, bagi membolehkan orang sakit itu berinteraksi dengan mudah dan selesa.

4) Bertanya akan keadaan orang sakit sambil meletakkan tangan di atas dahi atau tangannya sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Kesempurnaan cara mengunjungi orang yang sakit, hendaklah seseorang itu meletakkan tangannya di atas dahi atau tangan orang sakit itu, lalu bertanya kepadanya tentang keadaannya.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Disunatkan juga menanyakan kepada ahli keluarga pesakit akan keadaan orang sakit terutama sekali bilamana orang tersebut dalam keadaan tenat tidak boleh bercakap-cakap. Namun perlu diingat, janganlah terlalu banyak bertanya dan janganlah bertanya sehingga menjengkelkan.

5) Ucapkanlah kata-kata yang elok dan baik yang dapat menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang sakit, bukannya kata-kata yang tidak disukainya dan yang boleh merisaukannya, melemahkan semangat serta menambahkan kesakitannya. Jika ia kelihatan takut atau gelisah, adalah elok untuk bercakap mengenai kelebihan yang ada padanya, jasa atau kebajikan yang pernah dibuatnya agar perasaan takut itu hilang. Disunatkan untuk memberinya nasihat agar banyak bersabar dan tabah menghadapi penderitaan yang di alaminya, sentiasa bersangka baik terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Orang yang berziarah hendaklah memberi harapan sembuh dengan mengatakan kepadanya bahawa apa yang ditanggungnya ini merupakan ujian dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan insya Allah akan membersihkan dirinya daripada dosa serta mendapat ganjaran pahala yang besar. Antara ucapan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberi keyakinan dan harapan sekali gus menjadi doa ialah:
Maksudnya: “(Penyakit ini) tidak apa-apa, malah membersihkan (daripada dosa), insya Allah.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
6) Disunatkan untuk mendoakan orang sakit supaya cepat sembuh, sama ada ketika melakukan ziarah ataupun tidak dan sama ada besar harapan untuk sembuh ataupun sebaliknya. Terdapat banyak hadits shahih yang menyebutkan mengenai doa-doa yang boleh dibaca bagi memohon kesembuhan dan keafiatan orang sakit, antara doa yang afdhal ialah membaca doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebanyak tujuh kali kepada pesakit, nescaya Allah Subhanahu wa Ta`ala menyembuhkannya:
Maksudnya: “Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung, semoga Dia menyembuhkanmu.”
Di samping pengambilan ubat dan penggunaan peralatan perubatan, pengubatan secara ruqyah (jampi) yang merupakan sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam juga boleh dilakukan apabila berziarah.

Di antara ruqyah atau dipanggil juga menawari di kalangan masyarakat kita itu adalah dengan meletakkan tangan kanan ke atas badan orang sakit atau di tempat yang sakit dan membaca “Bismillah”, kemudian meniup kepadanya seraya membaca mu‘awwidzat (surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas) atau doa perlindungan.Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ada meriwayatkan:
Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah meniup badan Baginda sambil membaca al- mu‘awwidzat di kala Baginda mengalami sakit yang membawa kepada kewafatannya.”(Hadits riwayat al-Bukhari)
Selain itu juga pesakit dianjurkan membaca doa pelindung ini dengan meletakkan tangan pada tempat yang sakit sebanyak tujuh kali yang bersumber daripada hadits Muslim:
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kemuliaan Allah dan kekuasaanNya daripada kejahatan yang aku dapat dan aku waspadai.”

7) Dianjurkan untuk meminta orang sakit itu mendoakan kesejahteraan dan kebaikan kita kerana doa orang sakit adalah mustajab berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Apabila engkau datang mengunjungi orang yang sakit, maka mintalah agar dia mendoakanmu, kerana doanya (makbul) seperti doa para malaikat.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
8) Berpesan kepada keluarga orang sakit atau orang yang menjaganya untuk berbuat baik, berlaku lembut dan sabar dengan karenah orang sakit dan beban ditanggung kerananya.

9) Menjaga aurat dan batas pergaulan semasa menziarahi orang sakit, lebih-lebih lagi bagi yang bukan mahram. Harus bagi seorang perempuan menziarahi seorang lelaki yang sakit selama mana ia menutup aurat, tidak menimbulkan perkaraperkara keji, syak, fitnah dan bukan dinamakan khalwat (berdua-duaan). Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ada meriwayatkan bahawa beliau pernah menziarahi Abu Bakar dan Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhuma yang mengalami demam panas, lalu ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: “Wahai ayah, bagaimana yang ayah rasakan dalam diri ayah? Dan wahai Bilal, bagaimana yang engkau rasakan dalam diri engkau?” (Hadits riwayat al-Bukhari)
10) Jangan bercerita tentang perkara buruk atau aib orang sakit kepada orang lain. Hendaklah disembunyikan sebarang keburukan atau keaiban yang dilihat.

11) Bagi orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh atau sedang nazak, dituntut ke atas ahli terdekat untuk membacakan talqin atau mengajarkannya ucapan ļŗļ·² ļŗ‡ļ»» ļŗ‡ļ»Ÿļ»Ŗ ļ»» agar kalimah tauhid tersebut menjadi ucapan terakhir sebelum dia meninggal dunia. Tidak perlu mengulang-ulang talqin jika orang sakit itu mengucapkan kalimat tauhid tersebut melainkan jika selepas mengucapkannya dia masih lagi bercakap atau menyebut perkara lain selain kalimat tauhid.

Menghadapkannya ke arah kiblat iaitu dengan membaringkannya pada rusuk sebelah kanannya dan menghadapkan mukanya ke arah kiblat. Jika sukar, baringkan dia pada rusuk sebelah kirinya dengan menghadapkan ke arah kiblat. Jika sukar juga, baringkan dia dengan menelentang dan menghadapkan muka serta telapak kakinya ke arah kiblat.

Angkat sedikit kepalanya supaya mukanya menghadap ke arah kiblat. Sunat dibacakan di sisi orang sakit itu surah Yasin dengan jahr dan surah ar-Ra‘d dengan israr. Jahr ialah suara nyaring atau tinggi sehingga dapat didengar oleh orang lain dan Israr ialah suara perlahan yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri.

Sekurang-kurang jahr itu ialah suara yang hanya dapat didengar oleh orang yang bersamanya. Dan sekurang-kurang israr ialah suara yang hanya dapat didengar oleh diri sendiri mengikut pendengaran yang biasa tanpa ada halangan untuk mendengar seperti tuli.

Sebagai kesimpulan, tuntutan menziarahi orang sakit memang mempunyai peranan dalam menanai sifat berkasih sayang , ambil peduli dan tidak camah mata di kalangan masyarakat. Di samping menghibur dan meringankan penderitaan orang sakit, dengan saling ziarah-menziarahi, ikatan persaudaraan dan sillaturrahim akan menjadi erat. Selain itu, peranan ruqyah mengikut cara Islam juga mempunyai hikmah tersendiri.

Insya Allah dengan mengikut dan menjaga adab-adab yang ditetapkan, amalan menziarahi orang sakit ini akan menjadi lebih berkat. Amalan ini sangat dituntut kerana ianya boleh mengingatkan kita kepada kematian dan mengajak kepada keinsafan.SUMBERNYA..
p/s: Jika banyak kekurangan yang kelihatan pada diri saya, Memang benar....Itulah saya...Andai ada masanya saya MENULIS sesuatu yang tidak mengikut acuan Islam, TEGURLAH saya.. NASIHATKAN LAH SAYA dengan HIKMAH, moga saya SEDAR akan kekurangan itu supaya IMAN ini tidak semakin NIPIS ... Kamu adalah saudara Saya (seagama) dan pada kamu saya meminta teguran yang IKHLAS itu.

Ulasan

are_lin@yu berkata…
nice dear..ayu dpt ilmu di pagi isnin ini ;-)
Jahirah berkata…
menziarahi org sedang sakit pn ada adabnya....tingginya Islam...
comelnya meow tu peluk bear...geram
insyaallah nurul akan menju=enguk sahabat2 yang sakit sbb esok2 kita juga akan hadapi sakit..

alahai bahagianya si meaw peluk bear
syiela berkata…
thanks kak sebab panjangkan ilmu ni.. akan cuba amalkan bila ziarah orang sakit nanti :)
LydSunshine berkata…
Bagus entry ni. Kadang2 dah tau tapi lupa. Yang penting, kucing tu comel sgt.
sal ya berkata…
terima kasih untk perkongsian.
Madam iEeDaZ berkata…
good sharing..tq :)
Tie HT berkata…
as salam,

bagus entry ni..:)
mama aryan berkata…
ada terbaca juga..perkongsian yg menarik kak..tq
Unknown berkata…
Bagus ilmu yang kita pelajari ini

Catatan popular daripada blog ini

BuKaN SeMua GaMBaR PeRLu KiTe uPLoaD/ LiKe/ SHaRe/ KoMeN ... sama2 kita fikir.

Kenali Kuih Tradisional Kita

Info untuk Wanita: Fibroid dan Cyst

TIDAK TAHU BACA AL-QURAN, TAPI KUBURNYA BERCAHAYA MENJULANG LANGIT.

Biar Gambar Berbicara [2]..SYRIA..

Merah Bak Delima....Banyaknya Khasiat Dia..

Mana Satu Gaya Tidur Pilihan Awak...