Puisi Buat Guru...


Senyuman guru sentiasa manis SEMANIS KURMA...

Biarpun penat, tidak pernah mengadu pada ADUAN RAKYAT...

Guru pencetus kejayaan kerana gurulah MENTOR...

Hingga ramai melahirkan IMAM MUDA...

Senda guraumu menghiburkan, walaupun guru bukan RAJA LAWAK...

Kerenah para pelajar, guru hadapi mengikut MELODI...

Guru berpesan, nak berjaya janganlah ponteng AL-KULIYYAH...

Nak berkat, bawalah berbincang dalam HALAQAH...

Yang pasti, kata guru, tuntutlah ilmu tanpa jemu kerana ia adalah KALAM SUCI...

Selamat Hari Guru...

Moga kita semua sentiasa mendapat AL-HIDAYAH...



Obor Hemah


Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru adalah batin suci hatinurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.


A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988


GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


USMAN AWANG
1979

Dua buah sajak yang cukup saya gemar sehingga meremang bulu roma setiap kali ia dideklamasikan...Dinukilkan oleh dua orang sastrawan yang cukup dikagumi dengan gaya bahasa yang begitu indah, bisa meruntun jiwa kecil ini...

Cikgu....

Jadilah seorang guru yang hadirnya diTUNGGU..

Hilangnya diRINDU... ilmunya diBURU...

Nasihatnya diSERU... tingkah lakunya diTIRU..

Walau ada kalanya kita dicaci, kita dimusuhi kita dimarahi, kita tidak dihargai.....tapi.... kita akan tetap tersenyum biarpun dalam pilu.. kita akan tetap melangkah biarpun hampir rebah, kita akan tetap tekun, ikhlas dan sabar meskipun terkadang hati tercalar dan maruah tercabar...

Sesungguhnya aku BAHAGIA menjadi GURU.......


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

BuKaN SeMua GaMBaR PeRLu KiTe uPLoaD/ LiKe/ SHaRe/ KoMeN ... sama2 kita fikir.

Kenali Kuih Tradisional Kita

Info untuk Wanita: Fibroid dan Cyst

TIDAK TAHU BACA AL-QURAN, TAPI KUBURNYA BERCAHAYA MENJULANG LANGIT.

Biar Gambar Berbicara [2]..SYRIA..

Merah Bak Delima....Banyaknya Khasiat Dia..

Mana Satu Gaya Tidur Pilihan Awak...