Kasih Sayang Yang Terlihat
Kasih sayang Allah sangat luas jika hendak dibandingkan kasih sayang sesama makhluk-Nya. Namun kasih sayang yang dikurniakan kepada kita wajar kita syukuri.
Di sini saya ingin berkongsi cerita yang mungkin ada persamaan dengan kehidupan kita sebagai hamba Allah yang lemah.
Adik saya membela seekor kucing yang sangat comel. Kami tujuh beradik sememangnya sangat sayang akan kucing. Sifat kami mengikut jejak langkah arwah Abah yang sangat sayangkan kucing. Kalau Abah jumpa kucing di tepi jalan mesti dia berhenti dan cium kucing tersebut. Kami dididik sayangkan kucing kerana Abah pesan kucing adalah haiwan kesayangan Nabi Muhammad...
Adik saya memberi nama kucingnya dengan nama Memey. Nasib kucing tersebut sama seperti anak terbuang, tanpa ayah dan ibu kerana adik mengutip Memey di dalam sebuah longkang. Atas rasa simpati adik membawa kucing tersebut pulang dan menjaganya sehingga dewasa.
Walaupun saya jarang pulang ke rumah kerana tinggal jauh dari keluarga namun sedikit sebanyak saya tahu perkembangan Memey. Dipendekkan cerita, pada suatu hari Memey melahirkan seekor anak namun anaknya hilang mungkin dibawa lari oleh kucing lain.
Memey berasa sedih dan sering memanggil-manggil anaknya. Namun kesedihannya hanya sementara dan dia meneruskan kehidupannya seperti biasa hinggalah pada suatu hari Memey melahirkan 3 ekor lagi anaknya.
Apa yang mengejutkn kami, Memey sememang sayangkan anaknya sama seperti manusia namun dia tidak pandai menjaga anaknya seperti ibu kucing yang lain. Memey tidak pandai menggonggong anaknya dan ada lagi perkara lain yang kami nampak janggal.
Kesimpulannya, kami beranggapan mungkin kerana dia pernah hidup terbuang tanpa kasih sayang ibu dan tanpa sentuhan ibu maka dia juga tidak pandai untuk menunjukkan kasih sayangnya pada anaknya.
Kisah ini mungkin nampak seperti tiada apa-apa yang menarik namun pada saya ia boleh dijadikan iktibar pada kita yang mempunyai akal untuk berfikir. Terutama ibu dan bapa dan yang bakal bergelar ibu. Berilah kasing sayang yang sewajarnya kepada anak masing-masing agar mereka tahu untuk membalasnya.
Berilah mereka kasih sayang sepenuhnya agar mereka sedar ada insan yang menyayangi mereka. Tunjukkanlah kasih sayang dan didiklah mereka seperti yang sepatutnya agar mereka rasa disayangi.
Tanpa kita sedar, gejala sosial yang berlaku pada masa kini juga akibat daripada kurangnya kasih sayang dan didikan. Saya teramat takut dengan apa yang berlaku sekarang. Moga-moga kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran untuk semua ini.
Andainya setelah kita beri sepenuh kasih sayang dan didikan yang sempurna namun keadaan tidak diingi tetap jua berlaku maka janganlah anda sebagai ibu bapa terus menghukum, teruskan berdoa dan banyakkan doa agar anak diberi petunjuk.
Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan jangan lah kita tergolong dalam hamba-hamba-Nya yang berputus asa.
Dalam al-Quran ada mengatakan: Kalianlah yang menjadi anak kalian sama ada Majusi atau Nasrani..
Coraklah kehidupan anak-anak dengan warna yang betul.
Ulasan