~✿❤~ Penebang Pokok dan Kapak Tumpul ~❤✿~
AL-KISAH pada masa zaman dulu ada seorang penebang kayu
menerima pelawaan daripada seorang majikan untuk memotong pokok di hutannya.
Kerana gaji dan kerja yang dijanjikan sangat lumayan,
penebang pokok itu bertekad untuk bekerja sebaik mungkin
demi membalas budi dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Ketika mula bekerja,
majikannya memberikan sebilah kapak
dan menunjukkan kawasan kerja yang perlu dilakukan
dalam masa yang ditentukan.
Hari pertama bekerja,
dia berjaya menumbangkan lapan batang pokok.
Pada petangnya, selepas mendengar hasil kerjanya sangat baik,
majikan itu memberikan pujian kepadanya.
“Hasil kerjamu sungguh luar biasa!
Saya sangat kagum dengan kemampuan kamu menebang pokok itu.
Belum pernah ada sesiapa sepertimu sebelum ini.
Teruskan bekerja seperti itu,” kata majikan itu.
Pujian daripada majikannya itu memberikannya motivasi
untuk terus melaksanakan kerjanya.
Pada keesokan harinya, penebang itu bekerja lebih keras lagi,
tetapi kali ini dia hanya berjaya menumbangkan tujuh batang pokok.
Hari ketiga pula,
dia bekerja lebih keras lagi namun hasilnya tetap tidak memuaskan
bahkan mengecewakan.
Semakin hari semakin sedikit pokok yang ditebangnya.
“Sepertinya aku kehilangan kemampuan dan kekuatanku,
bagaimana aku dapat terus bertanggungjawab hasil kerjaku kepada majikan?,”
fikir penebang pokok itu kerana dia merasa malu dan putus asa.
Dia menghadap majikannya sambil kepalanya tertunduk
lalu meminta maaf atas hasil kerja yang kurang memberangsangkan itu.
Dia mengeluh kerana tidak mengetahui apa yang terjadi.
Majikan itu bertanya kepadanya: “Bila masanya kamu mengasah kapak kamu?”
“Mengasah kapak?
Saya tidak mempunyai masa untuk itu,
saya sangat sibuk setiap hari menebang pokok
dari pagi hingga petang dengan sekuat tenaga,” kata penebang itu.
“Nah, di sinilah masalahnya.
Ingat, hari pertama kamu kerja?
Dengan kapak baru yang terasah tajam,
maka kamu mampu menebang pokok dengan hasil luar biasa."
“Hari-hari berikutnya,
dengan tenaga yang sama,
menggunakan kapak yang sama tetapi tidak diasah,
kamu tahu sendiri, hasilnya semakin menurun.
Maka, sesibuk mana pun kamu perlu meluangkan masa untuk mengasah kapakmu,
supaya setiap hari kamu bekerja dengan tenaga yang sama
dan hasil yang maksimum.
Sekarang pergilah asah kapakmu dan segera kembali bekerja!” perintah majikan.
Sambil mengangguk-anggukkan kepala dan mengucap terima kasih,
penebang itu berlalu di hadapan majikannya untuk mengasah kapaknya.
Sebenarnya betullah kata bijak pandai.
Istirahat bukan bererti berhenti,
tetapi untuk menempuh perjalanan yang lebih jauh lagi dan mencabar.
Sama seperti penebang pokok itu,
kita pun setiap hari dari pagi hingga malam hari,
seolah-olah terjebak dalam kesibukan.
Sibuk, sibuk dan sibuk,
sehingga sering kali kita lupa untuk berehat
iaitu istirehat seketika mengasah serta mengisi hal-hal baru
untuk menambah pengetahuan,
wawasan apa lagi soal spiritual,
ibadah, soal matlamat supaya kita lebih bermotivasi.
Jangan sibuk mencari kelemahan dan kesilapan orang lain,
tetapi sibuklah mencari kesilapan sendiri,
dengan bermuhasabah,
bermujahadah dengan memperbanyakkan membaca.
Dengan ilmu sahajalah kita boleh berada di mana sahaja
sebab ilmu yang kita galas tidak pernah membebankan kita.
Ilmu bagaimana mengenal Allah mesti diperbaharui, ilmu mengenai kenabian,
malah ilmu diri kita sendiri.
Dari mana kita datang,
di mana kita sekarang,
apa yang patut kita lakukan sekarang di dunia
dan selepas ini ke mana kita akan pergi.
Semoga tazkirah kali ini kita sentiasa tajam dengan ilmu
dan keprihatinan terhadap tanggungjawab seharian
barulah hari mendatang menjadi lebih baik dari semalam,
dan hari esok lebih baik dari sebelumnya.
Renung-renungkan...
¸.•*´¯) Salam Ukhuwah. ¸.•*´¯)
*Sesiapa yg nak kongsi silakan.
Tak perlu mintak izin sebab saya memang ingin berkongsi dgn semua orang.
(◠‿◠✿)
Selalamat Beramal ~ Moga ada manfaatnya...
- ~♥♥ ummuainries ♥♥~ .
"SAAT AKU MENYAMPAIKAN SUATU KEBAIKAN KEPADAMU, BUKANNYA AKU HENDAK MEMBERIKAN NASIHAT AKAN KEKURANGANMU SAHABAT..TAPI AKU SEKADAR MENJADIKAN DIRIMU SEBAGAI PERANTARA, AGAR NASIHAT ITU SAMPAI KEPADA DIRIKU."MENGARAHKAN WAJAH KE CERMIN, BUKAN BERERTI MENCARI-CARI KEKURANGAN CERMIN, NAMUN HAKIKATNYA ADALAH MENCARI KEKURANGAN DIRI UNTUK DIPERBETULKAN AGAR LEBIH BAIK, DENGAN "perantaraan cermin"
Ulasan