Bukti Kehebatan Ramadhan

Kenangan Badar Kubra





Kemenangan di perang badar hasil daripada pejuang islam sanggup berlapar kerana Allah..

Tarikh keramat 17 Ramadhan adalah satu ulang tahun kejayaan yang tentunya menjadi kenangan manis kepada seluruh umat Islam sejagat. Tarikh di mana bertembungnya dua pasukan yang mempunyai dua visi yang berlainan ; satu pihak ingin mencari keredhaan Allah SWT manakala satu pihak mencari keredhaan dunia. Allah SWT ternyata menyebelahi hamba-hambaNya yang sabar dengan menurunkan pertolongan yang tidak sama sekali terduga oleh akal manusia. Nyata sekali betapa besarnay kudrat manusia, jika berdepan dengan kekuatan taqwa dan iman, ia terlalu rapuh dan terlalu mudah untuk ditewaskan. Siapa lagi yang dapat menyangkal pertolongan Allah di sebalik kemenangan 313 tentera muslim menentang kemaraan hebat 1000 orang tentera kuffar yang lengkap dengan peralatan tenteranya? Siapakah yang berani menidakkan keajaiban yang berlaku apabila kaum muslimin yang tidak bersedia pun untuk berperang tiba-tiba diarahkan Rasulullah SAW untuk bertarung dengan kekuatan tentera musyrikin yang datang khusus dari Mekah hanya dengan membawa slogan peperangan?!

Namun, itulah yang berlaku. Di sebalik rayuan Rasulullah SAW menadah tangannya ke langit, Allah SWT tidak membiarkan tangan itu terangkat begitu lama. Para malaikat turun dengan kekuatan yang tidak terjangkau oleh mata kasar manusia. Lalu, kaum muslimin pulang ke Madinah dengan satu kejayaan yang menambahkan semangat juang dan memberikan satu lagi keyakinan bahawa pertolongan Allah pastinya bersama dengan mereka yang bertaqwa. Siapakah yang lebih tepat janjinya daripada Allah SWT yang menukilkan janjinya : Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Surah Muhammad, ayat 7).

Kini, pasir-pasir di Badar telahpun kering daripada tumpahan darah manusia lebih 1420 tahun yang lampau. Hiruk pikuk peperangan dan laungan kemenangan kaum muslimin tentunya sudah tenggelam ditelan masa yang begitu laju berlalu. Tiada lagi lontaran panah-panah dan pacuan kuda-kuda perang yang menukilkan kemenangan kepada tentera muslimin, namun sejarah telah tercatit dengan kemas bahawa di situlah satu memori manis telah terbina buat azimat dan penangkal semangat kepada setiap yang ingin melihat agama ini berdaulat di muka bumi.

Saat ini, kaum muslimin bukan lagi berjumlah 313 orang namun berbillion ramainya melata di seluruh muka bumi. Bagaimanapun, ia sudah tidak sama dengan tentera Badar, malah teramat lemah jika dibandingkan dengan mereka. Jika para sahabat sanggup turun menentang kaum musyrikin biarpun peluang untuk menang terlalu tipis, sekarang pula terlalu sedikit individu yang sanggup turun melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang manusia yang mengaku Islam. Kalangan kita sebenarnya lebih enak tidur di katil masing-masing daripada berlumur debu di medan perjuangan.

Sejarah terus berlalu. Badar menjadi kenangan kita zaman berzaman. Ya, kemenangannya perlu diulangi, namun ia memerlukan pengorbanan. Ulangilah jawapan para sahabat apabila diajak untuk berjihad oleh Rasulullah SAW : Demi Allah wahai Nabi Allah, kami tidak akan menjawab sebagaimana yang dijawab oleh Bani Israil ketika Nabi Musa mengajak mereka berperang iaitu “(Wahai Musa) pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka, (biarlah) kami di sini duduk menunggu", tetapi kami akan menjawab, pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka, kami akan bersama-sama dengan kamu untuk berperang!"

Ulasan

insan_marhaen berkata…
tiada alasan untuk bermalas-malasan di bulan Ramadhan..
Ustazthrash berkata…
Laa Izzata Illa Bil Jihad

Catatan popular daripada blog ini

BuKaN SeMua GaMBaR PeRLu KiTe uPLoaD/ LiKe/ SHaRe/ KoMeN ... sama2 kita fikir.

Kenali Kuih Tradisional Kita

Info untuk Wanita: Fibroid dan Cyst

TIDAK TAHU BACA AL-QURAN, TAPI KUBURNYA BERCAHAYA MENJULANG LANGIT.

Biar Gambar Berbicara [2]..SYRIA..

Merah Bak Delima....Banyaknya Khasiat Dia..

Mana Satu Gaya Tidur Pilihan Awak...