Mencari Keberkatan Dalam Bersahur




Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah...Allah pertemukan lagi kita dengan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini..Bulan seribu rahmat...Semoga kita dapat menjalani ibadat puasa dengan sempurna.
Rasulullah SAW amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda SAW :
Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.” Hadis riwayat al-Bukhari .

BERDASARKAN beberapa hadis Rasulullah s.a.w., hukum makan sahur adalah sunat. Dalam riwayat Abdullah bin al-Haris, salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w. telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Nabi, Baginda sedang bersahur lalu bersabda:

"Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu meninggalkannya."

Sahur ialah makan selepas waktu dinihari sehingga sebelum terbit fajar bagi orang-orang yang hendak berpuasa pada bulan Ramadan atau pada bulan-bulan yang lain.

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab). Sabda Rasulullah SAW :

Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.”Hadis riwayat al-Tirmizi.

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi SAW amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda SAW :

“Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.” – Hadis riwayat Ahmad.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah SAW :

“Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit.”Hadis riwayat al-Bukhari.

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

“Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”Surah al-Baqarah: Ayat 187.

Imsak bererti menahan diri daripada makan dan minum, bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari. Waktu imsak adalah kira-kira 10 minit terakhir sebelum masuk waktu Subuh, iaitu bersamaan dengan bacaan 50 ayat al-Quran.

Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa sahabat yang bernama Zaid bin Tsabit berkata: ``Kami telah bersahur bersama Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian kami mendirikan sembahyang, lalu Anas r.a. bertanya:

"Berapakah jarak waktu antara kedua-duanya?'' Zaid menjawab: "Kadar membaca lima puluh ayat.''

Beliau menjelaskan, tidak ada syarat-syarat tertentu untuk bersahur, seperti tidur dahulu dan kemudian bangun untuk bersahur. Begitu juga bersahur sekadar meminum air dan buah kurma. Memadailah jika mendapat berkat daripada amalan bersahur.

Sekiranya terdapat buah kurma, ia adalah makanan sahur bagi orang-orang yang beriman sebagai mana riwayat daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah tamar (kurma). (Hadis riwayat Abu daud)

Dalam riwayat yang lain pula, daripada As-Saib bin Yazid, sabda Rasulullah s.a.w.: Sebaik-baik makanan sahur ialah buah tamar (kurma). Baginda bersabda lagi yang bermaksud: Allah merahmati orang-orang yang bersahur.

Bagaimanapun, sebagai bekalan tenaga sepanjang hari, disarankan bersahur dengan makanan yang berkhasiat dan berzat supaya dapat menahan diri daripada kelaparan dan mendapat kekuatan,'' jelas beliau lagi.

Hadis riwayat al-Hakim, Rasulullah s.a.w. bersabda: Memohonlah kamu (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperoleh kekuatan berpuasa pada siang hari.

Bangun dan berdoa pada waktu sahur sebenarnya mempunyai barakah yang besar dan merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t. dalam surah az-Zariyat, ayat 18, maksudnya: Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar), mereka selalu beristighfar kepada Allah memohon ampun.

Bangun awal pagi untuk bersahur juga memberi peluang untuk melakukan amal ibadat seperti berwuduk, berzikir, membaca al-Quran dan menunaikan sunat tahajud dan sunat witir bagi yang belum melakukannya,'' ujarnya mengenai hikmah bersahur.

Surah Ali Imran, ayat 17 pula, Allah menjelaskan waktu yang sesuai untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Firman-Nya: Dan juga orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiaas taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

Sahur juga merupakan salah satu daripada akhlak Rasulullah s.a.w., sebagaimana yang terkandung dalam terjemahan hadis berikut: `'Tiga perkara yang termasuk antara akhlak para rasul ialah bersegera berbuka puasa, melambatkan sahur dan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri ketika dalam sembahyang.

Menurut Ibn Hajar al-'Asqalani, pengarang kitab Fath al-Bari dan Imam an-Nawawi di dalam kitab Sahih Muslim, bahawa sahur yang memberi keberkatan ialah memperoleh balasan dan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. dan mengikut sunah Nabi Muhammad s.a.w.

Sahur juga menghalang perbuatan-perbuatan tidak sopan yang dipengaruhi oleh kesan lapar pada siang hari, selain memberi kekuatan untuk beribadat bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga pada siang hari,'' ujar beliau tentang kelebihan-kelebihan bersahur.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

BuKaN SeMua GaMBaR PeRLu KiTe uPLoaD/ LiKe/ SHaRe/ KoMeN ... sama2 kita fikir.

Kenali Kuih Tradisional Kita

Info untuk Wanita: Fibroid dan Cyst

TIDAK TAHU BACA AL-QURAN, TAPI KUBURNYA BERCAHAYA MENJULANG LANGIT.

Biar Gambar Berbicara [2]..SYRIA..

Merah Bak Delima....Banyaknya Khasiat Dia..

Mana Satu Gaya Tidur Pilihan Awak...