Dr Lo' Lo Dalam Kenangan : Hilangnya Sebutir MUTIARA..
Jenazah ahli parlimen PAS Titiwangsa, Allahyarhamah Dr Lo Lo' Mohd Ghazali selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Datuk Keramat di ibu negara kira-kira jam 11.10 pagi ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memimpin solat jenazah bersama-sama ribuan jemaah di Masjid al-Akram, Datuk Keramat.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Pakatan Rakyat dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Jalil.
Hadir sama naib presiden PAS Salahuddin Ayub, Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) dan Ketua Dewan Muslimat Siti Zailah Yusof.
Dr Lo' Lo' meninggal dunia pada jam 10.13 malam semalam di hospital Selayang di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun.
Berita kematian allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitternya atas nama keluarga.
Beliau dalam keadaan kritikal akibat penyakit barah paru-paru sejak akhir Julai 2009.
Allahyarhamah adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.
Ahli parlimen itu meninggalkan seorang suami, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan empat orang anak - dua lelaki dan dua perempuan.
Lebih 2,000 orang ramai termasuk penyokong PAS dan penduduk parlimen Titiwangsa mengunjungi dan mengiringi beliau ke tanah perkuburan, yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid berkenaan.
Sebelum itu, dewan solat Masjid Al-Akram sesak dengan orang ramai yang mahu memberi penghormatan terakhir kepada Dr Lo' Lo'.
Dr Lo' Lo' aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.Sementara itu, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang ditemui, menyifatkan pemergian Dr Lo' Lo' sebagai satu kehilangan yang amat besar.
Menurut mereka, khidmat beliau yang belum selesai, khususnya berkaitan perjuangan membela penduduk Kampung Baru yang ditandakan sebagai kawasan komersial sepenuhnya dalam pindaan terbaru Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020.
Ahli parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusof sebak atas kehilangan rakan seperjuangannya, itu yang juga bekas pemimpin Dewan Muslimat PAS pusat.
Beliau berkata antara pesanan terakhir Dr Lo' Lo' khususnya kepada Dewan Muslimat PAS supaya meneruskan perjuangan demi melaksanakan tuntutan Islam.
"Beliau menasihatkan supaya kami banyak bersabar, tabah dan jangan patah semangat dalam perjuangan, khususnya mempertahankan maruah Kampung Baru," katanya bergenangan air mata.
Katanya, penduduk di parlimen Titiwangsa amat bertuah kerana wakil rakyat mereka itu memperjuangkan isu Kampung Baru sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Manakala ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Kamaruddin Jaafar pula berkata Dr Lo' Lo' adalah seorang pemimpin dan tokoh wanita yang berprinsip dan berani menyuarakan pandangan dalam memperjuangkan hak rakyat.
"Kesan perjuangannya amat besar di parlimen Titiwangsa dan keberanian arwah memperjuang serta menyelesaikan masalah rakyat.
"Pemergiannya satu kehilangan besar kepada PAS, Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat di negara kita,"
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula berkata penduduk Titiwangsa bukan sahaja kehilangan seorang tokoh wanita yang hebat, malah PAS dan beliau sendiri kehilangan sahabat yang banyak memberi motivasi kepada rakan-rakannya yang lain.
"Sifatnya sebagai seorang ibu yang memberi leteran, tetapi leteran itu merupakan satu motivasi kepada kami bekerja lebih kuat dan terus bekerja untuk rakyat Malaysia.
"Beliau seorang yang sangat gigih dan (selalu) turun padang memberi khidmat kepada penduduk Titiwangsa dan kehilangannya sukar dicari ganti," kata beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena.
Sehubungan itu, Mahfuz berkata wakil rakyat PAS dan Pakatan akan mengagihkan tugas untuk meneruskan tugas Allahyarhamah di parlimen Titiwangsa walaupun pilihan raya kecil tidak diadakan kerana tempoh parlimen sudah melebihi tiga tahun.
Sementara itu, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata beliau bersama dengan ahli parlimen Pakatan akan bersama-sama meneruskan perjuangan Dr Lo' Lo'.
Beliau juga berharap keluarganya bersabar, tabah dan redha dengan ujian Allah dan berharap amalan Allahyarhamah diterima Allah dan dosanya diampuni.
Sebelum itu, sewaktu talkin sedang dibacakan, suasana tenang dan sunyi, disusuli awan menutupi matahari sebanyak dua kali, menjadikan suasana redup di tengah-tengah belaian angin sepoi-sepoi bahasa .
Apa yang pasti, Dr. Lo’lo tidak mahu pemergiannya hanya meninggalkan sebuah luka dan kesedihan.
Pemergiannya mesti menjadi api yang membakar semangat untuk kita semua meneruskan perjuangan.
Seperti ungkapan asy-Syaheed Sayyid Qutb di ambang kepulangannya kepada ar-Rahmaan:
Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulangku yang hancur luluh
Nyalakanlah obor buat umat mulia ini
Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya
Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan Kekasih yang sedang merinduku
Taman-taman di syurga bangga menerimaku
Burung-burung berkicau riang menyambut ku
Berbahagialah hidupku di alam abadi
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah roh ku terbang mendapatkan rindunya
Janganlah gentar berkelana ke alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar
Berehatlah bonda YB Dr. Lo’lo Ghazali dari keletihan dunia.
Tiada lilin yang pernah engkau nyalakan, melainkan akan kami oborkan ia hingga sirna gelap Jahiliah dan terbit fajar kemenangan, tidak lama lagi! LINK
Ulasan
semoga rohnya diantara org2 yg bertaqwa amin